Friday, November 9, 2012

Berkaitan Dengan Kawan, Persahabatan dan Persaudaraan Menurut Islam


Ayat Al Quran Mengenai Persahabatan: Sahabat Pada Hari Kiamat
(Pada hari kiamat kelak) orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa." (al-Zukhruf:67)

Hadis Persahabatan: Memilih Kawan
"Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat." (Riwayat Ahmad

Ayat Al Quran Berkenaan Persahabatan: Orang Zalim Yang Menggigit Jari
"Pada hari itu orang yang zalim menggigit tangannya (jari) dengan penuh penyesalan sambil berkata alangkah baiknya kalau aku dahulu menurut ajaran Rasul Allah. Wahai alangkah baiknya kalau aku tidak menjadikan si anu sebagai sahabat karib. Ia telah menyesatkan aku dari mengingati pesanan (Allah) setelah peringatan itu datang. Memang syaitan akan melepaskan diri dari kejahatannya terhadap manusia. (Al-Furqan: 27-29)

Hadis Persahabatan: Cermin
"Orang Mukmin adalah ibarat cermin bagi Mukmin yang lain. Mereka bersaudara di antara satu sama lain. Memelihara harta bendanya dan melindungi kepentingannya masa ketiadaannya" (Riwayat Abu Daud)

Hadis Persahabatan: Ikatan Setiakawan Kerana Allah
"Ikatan iman yang paling teguh ialah setiakawan demi Allah dan berkonfrontasi demi Allah, kasih demi Allah, benci pun demi Allah." (Riwayat Tayalasi, Hakim, Tabarani fi al-Kabir dan al-Ausat, Ahmad, Ibn Abi Syaibah, dan Ibn. Nasr)

Hadis Persahabatan: Memanfaatkan Kelebihan Diri Untuk Menolong Orang Yang Tidak Ada Kelebihan Tersebut
"Sesiapa yang mempunyai kelebihan tunggangan maka hendaklah dia membantu memudahkan untuk orang-orang yang tidak mempunyai kenderaan. Sesiapa yang mempunyai bekalan lebih maka hendaklah dia membantu orang yang tidak mempunyai bekalan." (Riwayat Muslim)

Hadis Persahabatan: Rasa Sayang
“Jika seseorang itu sayang kepada sahabatnya maka hendaklah dia beritahu bahawa dia menyayanginya.” (Riwayat Abu Daud)

Hadis Persahabatan: Doa Untuk Sahabat
Umar Ibnu al-Khattab meriwayatkan:

Pada suatu ketika saya memohon izin daripada Rasulullah s.a.w. untuk pergi menunaikan umrah. Baginda mengizinkan saya. Beliau berpesan “Jangan lupa mendoakan kami wahai saudaraku.”. Saya amat berbesar hati dengan ungkapan Baginda tersebut. (Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Bermanis Muka
Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Jangan engkau memandang kecil perbuatan yang baik, walaupun sekadar bermuka manis apabila bertemu dengan sahabat” Riwayat Muslim)

Hadis Persaudaraan: Dua Muslim Berjabat Tangan
Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Setiap dua orang muslim bertemu dan berjabat tangan nescaya diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah” (Riwayat Abu Daud)

Hadis Persahabatan: Sering Ziarah-Menziarahi
Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. berfirman:

“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)” (Riwayat Ahmad)



No comments:

Post a Comment